![]() |
Masjid Puncak Alam terletak di tengah-tengah bandar Puncak Alam dikelilingi kawasan perumahan. Sangat strategik! |
Hujan renyai-renyai yang mengiringi perjalanan kami sekeluarga ke Puncak Alam sedikit meresahkan hati.. Sempatkah Maghrib berjemaah petang ini? Perjalanan dari Brickfields ke Puncak Alam terasa jauh apabila tersilap memilih lebuhraya.. 'Lebuhraya kehidupan' pun begitu, tersilap pilih jalan, tersadailah kita di Mahsyar.. Na'uzubillahi min zaalik! Astaghfirullahal 'Azim..
Kegusaran kami ada asasnya, kami tersilap jalan hinggakan kami hanya tiba di Masjid Puncak Alam sekitar jam 7.30 malam. Niat asal ingin melihat kawasan perumahan sekitar bandar Puncak Alam juga terpaksa dibatalkan kerana cuaca hujan dan hari sudah gelap. Itulah niat asal kami ke sini.
![]() |
Pemandangan di waktu malam pintu masuk utama Masjid Puncak Alam. |
Menyaksikan keindahan Masjid Puncak Alam di waktu malam cukup mengindahkan. Dari jauh sudah dapat dilihat menara masjid yang tinggi dan dihiasi lampu yang amat menarik. Kerana sudah terlewat dan penceramah telah memulakan ceramah, saya dan anak-anak lelaki hanya menunaikan solat Maghrib di kawasan terbuka.
Usai solat dan doa ringkas, kami melangkah masuk ke ruang utama (tertutup) solat.. Subhanallah.., mahasuci Allah yang mengurniakan ilmu kepada hambaNya sehingga tercipta sebuah masjid yang amat indah. Sejuk penyaman udara cukup mendamai dan menenangkan.. "Ya Allah, demi KeagunganMu ya Allah, kau kurniakanlah kerahmatan dan keberkatan kepada hidup orang yang membina masjid ini".
Para jemaah sedang khusyuk mendengar perkongsian ilmu oleh penceramah jemputan. |
Kepelbagaian metodologi dalam menyampaikan ceramah yang berkesan amat penting. |
Mengikut sejarahnya, masjid ini dibina oleh Tan Sri Rozali Ismail, seorang tokoh korporat muslim yang tersohor di Malaysia dan mula beroperasi sebelum Ramadhan yang lalu. Benarlah firman Allah Taala dalam surah Ibrahim ayat 7, yang bermaksud: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras." Inilah cara bersyukur, bila Allah limpahkan rezeki, diniagakan semula dijalan Allah melalui infaq; membina rumah Allah untuk kegunaan umat Islam sekeliling. Alhamdulillah.. moga Allah melimpahkan rezeki yang berlipat ganda kepada beliau.
Saya juga difahamkan, di sepanjang Ramadhan yang lalu, beliau telah menyumbangkan juadah berbuka dan more untuk para penduduk tempatan yang datang berbuka di masjid tersebut. "Maka nikmat Allah yang mana hendak kamu dustakan!" (Ar-Rahman, ayat 13).
Terdetik di hati, ya Allah, betapa besar ganjaran yang diperolehi oleh hambaMu yang berbisnes denganMu dengan ikhlas.. Mudah-mudahan kita juga mampu berbisnes dengan Allah. Jangan sedikit menjadi alasan. Biarlah sedikit tetapi istiqomah. Aku mohon keampunanMu ya Allah..
No comments:
Post a Comment