Sunday, 2 November 2014

Damainya di Rumah Allah..

Masjid Puncak Alam terletak di tengah-tengah bandar Puncak Alam dikelilingi kawasan perumahan. Sangat strategik!
Hujan renyai-renyai yang mengiringi perjalanan kami sekeluarga ke Puncak Alam sedikit meresahkan hati.. Sempatkah Maghrib berjemaah petang ini? Perjalanan dari Brickfields ke Puncak Alam terasa jauh apabila tersilap memilih lebuhraya.. 'Lebuhraya kehidupan' pun begitu, tersilap pilih jalan, tersadailah kita di Mahsyar.. Na'uzubillahi min zaalik! Astaghfirullahal 'Azim..

Kegusaran kami ada asasnya, kami tersilap jalan hinggakan kami hanya tiba di Masjid Puncak Alam sekitar jam 7.30 malam. Niat asal ingin melihat kawasan perumahan sekitar bandar Puncak Alam juga terpaksa dibatalkan kerana cuaca hujan dan hari sudah gelap. Itulah niat asal kami ke sini.

Pemandangan di waktu malam pintu masuk utama Masjid Puncak Alam.

Menyaksikan keindahan Masjid Puncak Alam di waktu malam cukup mengindahkan. Dari jauh sudah dapat dilihat menara masjid yang tinggi dan dihiasi lampu yang amat menarik. Kerana sudah terlewat dan penceramah telah memulakan ceramah, saya dan anak-anak lelaki hanya menunaikan solat Maghrib di kawasan terbuka.

Usai solat dan doa ringkas, kami melangkah masuk ke ruang utama (tertutup) solat.. Subhanallah.., mahasuci Allah yang mengurniakan ilmu kepada hambaNya sehingga tercipta sebuah masjid yang amat indah. Sejuk penyaman udara cukup mendamai dan menenangkan.. "Ya Allah, demi KeagunganMu ya Allah, kau kurniakanlah kerahmatan dan keberkatan kepada hidup orang yang membina masjid ini".

Para jemaah sedang khusyuk mendengar perkongsian ilmu oleh penceramah jemputan.

Kepelbagaian metodologi dalam menyampaikan ceramah yang berkesan amat penting.


Mengikut sejarahnya, masjid ini dibina oleh Tan Sri Rozali Ismail, seorang tokoh korporat muslim yang tersohor di Malaysia dan mula beroperasi sebelum Ramadhan yang lalu. Benarlah firman Allah Taala dalam surah Ibrahim ayat 7, yang bermaksud: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras." Inilah cara bersyukur, bila Allah limpahkan rezeki, diniagakan semula dijalan Allah melalui infaq; membina rumah Allah untuk kegunaan umat Islam sekeliling. Alhamdulillah.. moga Allah melimpahkan rezeki yang berlipat ganda kepada beliau.

Saya juga difahamkan, di sepanjang Ramadhan yang lalu, beliau telah menyumbangkan juadah berbuka dan more untuk para penduduk tempatan yang datang berbuka di masjid tersebut. "Maka nikmat Allah yang mana hendak kamu dustakan!" (Ar-Rahman, ayat 13).

Terdetik di hati, ya Allah, betapa besar ganjaran yang diperolehi oleh hambaMu yang berbisnes denganMu dengan ikhlas.. Mudah-mudahan kita juga mampu berbisnes dengan Allah. Jangan sedikit menjadi alasan. Biarlah sedikit tetapi istiqomah. Aku mohon keampunanMu ya Allah..



Thursday, 23 October 2014

I Want to Touch A...

Cuti hujung minggu lepas, diberikan kesempatan untuk mengubah sedikit cara pendidikan anak-anak terhadap alam sekeliling, yang penuh dengan makhluk Allah. Semoga ada manfaatnya.. Kami bawa anak-anak ke Farm in the City, Seri Kembangan.


Mula-mula kami tengok show burung Kakaktua (Parrot). Allah izinkan ia bercakap melalui perantaraan manusia yang mengajarnya. Sama ada ia faham apa yang ia kata atau tidak, wallahua'lam. Tapi kita manusia yang dikurniakan akal tak boleh begitu; kena faham dan kena amal apa yang kita cakap; walk the talk! Amaran Allah jelas dalam surah AsSaf, ayat 3 yang bermaksud: "Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan."

Di sini banyak haiwan 'suci' yang boleh disentuh, tak perlu samak selepas sentuh. Cuma kena basuh tangan sebelum makan. Anak-anak begitu teruja dapat memberi makan kepada haiwan seperti kura-kura, kambing, itik, burung dan ikan.

 

 
 
 
 

Kalau 'terer' memancing, marilah cuba tangkap seekor dua ikan dalam kolam longkang ni. Nampak macam senang, cubalah sendiri.

 

Bagi kami, trip belajar ilmu alam ini berbaloi untuk anak-anak mengenali serba sedikit mengenai haiwan ternakan. Tempatpun redup dipayungi pokok, sarang dan dekorasi. Biarkan tangan mereka 'kotor' sedikit dengan menyentuh haiwan-haiwan ternakan dan bagi mereka makan. Tak boleh dibiarkan jari-jari mereka hanya tahu sentuh smartphone atau tablet saja! Sesungguhnya setiap makhluk ciptaan Allah ada manfaat dan fungsinya.

Monday, 20 October 2014

Pantai Sepat, Kuantan, Pahang, 28 Dis. 2007
Bismillahirrahmanirrahim..

Aku memulakan blog ini dengan nama Allah semoga ada ilmu yang bermanfaat dapat dikongsikan, ada ibrah yang boleh diambil semoga redha Allah sentiasa memayungi kita semua.

Aku juga memohon pada Allah semoga perasaan riyak, takbur, ujub dan segala sifat mazmumah dilontar jauh dari hati. Mudah-mudahan adalah amal baik yang akan diambil kira oleh Allah sebagai bekal bertemu-Nya.